Sunday, July 31, 2011

Gandaan Ganjaran Ramadhan


Gandaan Ganjaran Ramadhan

LAILATUL qadar merupakan salah satu dari malam-malam Ramadhan, di mana keistimewaannya dikatakan menyamai bilangan seribu bulan. Ini dijelaskan sebagaimana firman Allah s.w.t : Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada malam Lailatul Qadar.

Tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar itu? Malam al-Qadar adalah lebih baik dari seribu bulan.

Gandaan pahala melakukan amal ibadat pada malam tersebut dikatakan mempunyai nilaiannya lebih 29,500 kali ganda kerana difahami dari ayat tersebut ganjaran pahala adalah lebih banyak dan baik melebihi 1,000 bulan.

Kebesaran lailatul qadar adalah berdasarkan dua perkara. Pertamanya, kerana pada malam tersebut diturunkan al-Quran dan keduanya pada malam tersebut akan turun para malaikat dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang-orang berpuasa dengan ikhlas.

Masya-ALLAH. Bayangkan kalau di luar Ramadhan setiap satu kebaikan akan diberi sepuluh ganjaran, apatah lagi Ramadhan? Sebagai contoh, dengan membaca al-Quran, ganjarannya mengikut berapa huruf yang dibaca. Jika satu surah al-Fatihah dibaca pada luar bulan Ramadhan, setiap huruf diberi ganjaran sepuluh kebaikan. Jika di bulan ramadhan, hanya dengan surah al-Fatihah berganda-ganda ganjarannya. Apatah lagi yang menghabiskan satu al-Quran. Begitu juga sedekah dan sebagainya.

Ganjaran Ramadhan

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

"Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata:" Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku." Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Kasturi." (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari hadith Abu Hurairah RA.)

Pengajaran Hadis:

i) Puasa merupakan perkara 'dharuriah' dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.

ii) Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadhan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadhan berlangsung.

iii) Bulan Ramadhan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah S.W.T bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadah kepada Allah S.W.T.

iv) Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadhan dan diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.

v) Ramadhan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadhan ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah S.W.T.


No comments:

Anda juga mungkin berminat :

Blog Widget by LinkWithin