Pada bulan Zulhijjah, terdapat padanya satu
ibadah yang sangat besar pahalanya di sisi ALLAH `Azza wa Jalla, iaitu ibadah
mengerjakan haji bagi sesiapa yang mampu. Ia melengkapkan rukun ISLAM pada diri
seseorang Muslim.
Disebut di dalam hadith bahawa ganjaran yang
menanti bagi jemaah haji yang memperolehi haji yang mabrur ialah Syurga. Maksud
hadith Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam:
“Satu umrah sampai umrah berikutnya adalah kafarat (penebus) dosa-dosa yang terjadi di antara kedua umrah itu. Dan haji yang mabrur tiada balasannya kecuali Syurga”(HR al-Bukhari & Muslim)
Bagi ummat ISLAM yang tidak mempunyai kesempatan
untuk mengerjakan ibadah haji, ALLAH `Azza wa Jalla tetap menyediakan
keistimewaan yang besar untuk direbut pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah.
Apakah amalan-amalan itu?
1) Memperbanyakkan amalan kebaikan dan ibadah sunat sepanjang 10 hari pertama pada bulan Zulhijjah.
Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma bahawa Nabi
sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih di kasihi ALLAH selain dari hari-hari yang sepuluh ini (pada bulan Zulhijjah).”Para sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan ALLAH?”Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: “Walaupun berjihad di jalan ALLAH, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”(HR al-Bukhari)
Para salafussoleh merebut kelebihan yang terdapat
pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah dengan menghidupkan siang dan malam mereka
dengan amalan-amalan soleh dan ibadah-ibadah sunat.
2) Puasa pada hari `Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah
Dari Abu Qatadah radhiAllahu `anhu berkata,
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah ditanya tentang puasa hari
`Arafah, kemudian Baginda menjawab yang maksudnya:
“Puasa itu dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang.”(HR Muslim)
3) Solat `Eidul-Adha
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda
yang maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan dua hari istimewa kalian itu dengan dua hari yang lebih istimewa daripadanya, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.”(HR Abu Daud: 1134, al-Albani mensahihkannya di dalam as-Silsilah as-Sahihah: 2021)
Di dalam hadith lain, Nabi sallAllahu `alaihi
wasallam bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya sebaik-baik hari di sisi ALLAH adalah Hari Raya Aidiladha.”(HR Abu Daud: 1765, al-Albani mensahihkannya di dalam Sahih Abu Daud)
4) Menyembelih haiwan korban selepas Solat `Eidul-Adha.
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda
yang bermaksud:
**Mengenai ibadah korban, baca pautan berikut:“Amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang sangat disukai ALLAH ialah menyembelih korban. Sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat dengan tanduk, kuku dan bulu-bulunya. Sesungguhnya ALLAH akan menerima penyembelihan korban itu sebelum darahnya tumpah ke bumi. Maka, kamu hendaklah ikhlaskan diri semasa melakukan korban itu.”(Ibn Majah: 3117 dan at-Tirmizi: 1412)
—
Begitulah di antara beberapa amalan yang wajar
menjadi rebutan buat kita ummat ISLAM dalam menambah bekalan menuju Hari
Akhirat.
Semoga dengan adanya peringatan ini menjadikan
kita di kalangan insan yang beruntung dalam mengambil faedah 10 hari-hari
terawal bulan Zulhijjah.
ALLAHU A`LAM.
Shahmuzir Nordzahir
muzir.wordpress.com
26 Oktober 2011
No comments:
Post a Comment